Penjelasan Tan metrik

Simbol yang rasmi untuk tan metrik ialah t. Walaupun T, mT, dan mt (khususnya dalam gabungan mmt untuk juta tan metrik ("million metric tons"), dengan Mt untuk megatan metrik (megatonne)) juga kekadang digunakan, kesemua ini tidak disyorkan kerana bercanggah dengan simbol-simbol SI antarabangsa yang disetujui. "T" ialah simbol SI untuk tesla, dan "m" ialah awalan SI untuk 'mili' yang membawa pengertian perseribu (walaupun secara amnya, awalan pecahan tidak digunakan untuk tan metrik). Te kekadang juga digunakan, khususnya untuk industri nuklear.

Di Perancis dan negara-negara yang bertuturan bahasa Inggeris dan yang sebahagian besarnya menggunakan sistem metrik, ejaan tonne digunakan secara meluas. Bagaimanapun, di Britain, tan yang digunakan sebelum pemetrikan ialah tan panjang yang terdiri daripada 2,240 paun (lebih kurang 1,016 kg). Ini hampir-hampir tepat sama dengan tan metrik sehingga banyak orang tidak banyak membezakan antara kedua-dua ini dan masih menggunakan ejaan yang lama. Umpamanya, Buku Rekod Dunia Guinness menerima pemetrikan tanpa menggantikan ejaannya. Bagi Amerika Syarikat, metric ton ialah nama untuk unit ini yang digunakan dan yang disyorkan oleh NIST. Di Amerika Syarikat, jika jenis "tan" tidak ditentukan, ia hampir selalu merujuk kepada tan pendek yang terdiri daripada 2,000 paun (kira-kira 907 kg).

Sebagaimana dengan gram dan kilogram, tan metrik menerbitkan unit daya dengan nama yang sama (kini sudah menjadi kuno): 1 tan-daya metrik = 9.80665 kilonewton (kN), unit yang sering dipanggil dengan mudah sebagai "tonne" atau "tan metrik", tanpa mengenal pastinya sebagai unit daya. Perhatikanlah bahawa hanya tan metrik yang digunakan sebagai unit jisim diterima untuk penggunaan bersama-sama SI: tan-daya atau tan-daya metrik tidak diterima.